suria

Kanak-kanak Hilang Ditemui Mati Lemas

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan perkelahan Sungai Larah, Bukit Berapit dekat Taiping petang semalam, ditemui mati lemas Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata mayat Alif Aiman Zamzuri ditemui tersangkut dicelah pokok kira-kira 500 meter dari tempat kejadian pada pukul 10.45 malam oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya mangsa yang berasal dari Kampung Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah di hantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Dalam kejadian 4.15 petang semalam mangsa dan ibu bapanya yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah dikatakan berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan perkelahan itu untuk berehat dan mandi.

"Semasa mereka mandi di sungai itu tiba-tiba satu kepala air kuat turun dari arah hulu sungai dan menghanyutkan mereka bertiga," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Yusof berkata pasangan suami isteri itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang pokok di tepi kawasan perkelahan itu, manakala anak mereka hilang dibawa arus deras. BERNAMA

Artikel Lain