suria

Polis Tahan Empat Anggota 'Geng Along' Aktif Ragut Di Kuantan

KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan 'Geng Along' yang aktif melakukan ragut dan pecah rumah di sekitar daerah ini dengan penangkapan empat anggotanya pada Ahad dan Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata polis kini memburu dua lagi anggota kumpulan itu.

Mengulas penangkapan itu kepada media, di sini hari ini, Mohd Jasmani berkata dua daripada mereka ditahan susulan kejadian ragut pada 27 April lepas di Jalan Haji Ahmad 7 di sini.

Dalam kejadian itu, dua daripada empat suspek meragut beg sandang seorang lelaki yang mengandungi wang tunai RM3,150 sebelum melarikan diri. Namun dua daripada mereka berjaya ditahan mangsa dan orang ramai tidak jauh dari lokasi kejadian.

Hasil siasatan membawa kepada penangkapan dua lagi suspek berusia 17 dan 20 tahun di sekitar kawasan Air Putih di sini semalam. Turut ditemui wang tunai RM1,200 dipercayai hasil ragut pada Ahad lepas.

Mohd Jasmani berkata kesemua yang ditahan mengaku terlibat dalam kejadian ragut tersebut.

Sementara itu, beliau berkara sepanjang Januari hingga April lepas, sebanyak 11 kes ragut dilaporkan di Kuantan yang mana empat berjaya diselesaikan.

Bagi tempoh yang sama juga sebanyak 339 kes curi motosikal dilaporkan di daerah ini dan polis berjaya menahan lapan lelaki berusia antara 17 dan 20 tahun dipercayai anggota 'Geng Yo Panching' berhubung kes terbabit.

Katanya suspek pertama ditahan pada Ahad lepas, manakala tujuh lagi ditahan dua hari kemudian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain