suria

Polis Selangor Bongkar Kegiatan Culik Warga Asing

SHAH ALAM: Polis Selangor membongkar kegiatan menculik warga Myanmar dan Bangladesh yang datang mencari pekerjaan di Malaysia oleh warga asing dengan penahanan 10 lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita rakyat Indonesia, pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis juga membebaskan empat lelaki, dua warga Bangladesh dan dua warga Myanmar berumur antara 18 hingga 40 tahun yang dikurung di sebuah rumah kedai di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam Jumaat.

Dalam serbuan di rumah kedai itu, polis juga memberkas lima lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita rakyat Indonesia berumur di antara 23 hingga 39 tahun, katanya kepada pemberita di sini.

Turut dirampas ialah sebuah buku akaun Maybank, satu kayu hoki, seutas rantai, lapan pasport Bangladesh dan sembilan telefon bimbit, katanya.

Sebelum itu, polis menahan empat lelaki warga Bangladesh berumur antara 30 hingga 43 tahun di Mentari Court, Subang Jaya pada pukul 7 malam semalam setelah menerima aduan daripada seorang lelaki warga Bangladesh berumur 50 tahun yang membuat laporan kepada polis pada pagi hari yang sama.

Pengadu yang bekerja kilang di Jepun mendakwa menerima panggilan telefon pada 29 Mac lepas daripada salah seorang penculik itu yang dikenali sebagai Shiraz meminta beliau membayar tebusan RM15,000 bagi membebaskan anak saudaranya yang diculik dan beliau datang ke Malaysia pada 1 Mei lepas.

Mangsa membuat laporan polis selepas gagal mencari anak saudaranya yang diculik di Malaysia.

Tun Hisan berkata, selain daripada menahan empat warga Bangladesh itu seorang lagi warga Bangladesh berumur 21 tahun ditahan di pos pengawal Mentari Court pada pukul 11 malam.

"Dipercayai lebih 10 orang telah diculik oleh kumpulan ini dan jumlah wang tebusan masih lagi dalam siasatan," katanya.

Ditanya sama ada mangsa dikasari, beliau berkata siasatan awal mendapati ada mangsa yang mempunyai kesan dipukul dipercayai menggunakan kayu hoki dan mereka yang melawan dan cuba melarikan diri, dirantai.

Modus operandi kumpulan ini ialah mereka mendekati warga-warga Bangladesh dan Myanmar yang tiba di Malaysia dengan menjanjikan peluang pekerjaan dan apabila tiba di suatu tempat, mangsa terbabit disamun.

"Mereka yang tidak mempunyai wang akan dikurung dan mereka akan menelefon keluarga terdekat walaupun mereka di luar negara," katanya.

Tun Hisan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain