suria

Polis Melaka Siasat Kecederaan Anggota MBMB Ketika Perhimpunan 28 April

MELAKA: Polis Melaka sedang menjalankan siasatan berhubung laporan kecederaan beberapa anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ketika menjalankan tugas pada perhimpunan di Dataran Pahlawan di sini, 28 April lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata siasatan terperinci akan dijalankan melalui gambar dan video yang dirakam polis sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu.

"Kita baru menerima laporan polis daripada anggota MBMB yang cedera," katanya kepada pemberita selepas majlis pelupusan cakera padat (CD), cakera padat digital (VCD) serta cakera video digital (DVD) cetak rompak dan lucah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di sini, Jumaat.

Sejumlah 51,229 keping CD, VDC serta DVD cetak rompak dan lucah yang dirampas antara 2004 dan 2009 dilupuskan atas arahan mahkamah.

Beliau berkata polis turut menerima laporan daripada pihak pengurusan syarikat pemaju hartanah, Hatten Group Sdn Bhd berhubung kerosakan di kawasan Dataran Pahlawan akibat perhimpunan itu.

Sebelum ini media melaporkan beberapa anggota MBMB cedera selepas diasak dan dirempuh peserta perhimpunan yang ingin memasuki kawasan Dataran Pahlawan.

Dalam perkembangan lain, Chuah berkata rampasan CD, VCD dan DVD haram di Melaka berkurangan lebih 50 peratus iaitu 15,637 keping pada tahun lepas berbanding 71,315 keping pada 2010.

Beliau berkata berdasarkan statistik antara 2007 dan 2011, sebanyak 347,366 keping CD, VCD dan DVD berjaya dirampas melibatkan 325 tangkapan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain