suria

Perhilitan P.Pinang Rampas Haiwan Eksotik Bernilai Lebih RM100,000 Untuk Pasaran Antarabangsa

GEORGE TOWN: Jabatan Perhilitan Pulau Pinang berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan haiwan eksotik apabila merampas 555 ekor ular tedung dan 171 kura-kura bernilai lebih RM100,00 di Kompleks Kargo Udara Kedua (KLAS), Batu Maung awal hari Jumaat.

Pengarah Perhilitan negeri Jamalun Nasir Ibrahim berkata rampasan dilakukan dengan kerjasama Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri, susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori kontena pada pukul 4.30 pagi tadi.

"Lori itu dijadual membawa 180 kotak berisi buah betik untuk dieksport ke Hong Kong. Namun tindakan licik penyeludup mencampurkan kotak berisi buah dengan haiwan terbabit berjaya dikesan apabila kami mendapati ia mengeluarkan bunyi bising dan bergerak dengan sendiri," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya haiwan tarbabit dipercayai untuk dipasarkan di restoran makanan eksotik di Hong Kong.

"Mengikut harga pasaran semasa, harga seekor ular adalah antara RM80 hingga RM200 bergantung pada saiznya manakala seekor kura-kura dari spesies Heosemysgrandis yang sukar ditemui itu berharga RM200 seekor," katanya.

Jamalun berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40-an bagi membantu siasatan.

Sindiket itu yang berpangkalan di Gurun, kedah dan berselindung di sebalik perniagaan eksport buah-buahan dengan permit sah dipercayai aktif menyeludup hidupan liar sejak setahun lalu.

Katanya kesemua haiwan terbabit akan dilepaskan semula ke habitat asal di utara Semenanjung dan Pahang secara berperingkat secepat mungkin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 10 (a) Akta Pemerdagangan Antarabangsa Spesies Terancam 2008 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 bagi setiap haiwan atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain