suria

Penumpang MAS Ditahan Kerana Cuba Seludup 31.6 Kg Ketamine

NEW DELHI: Seorang penumpang Malaysia Airlines (MAS) warga India yang dipercayai cuba menyeludup 3.16kg dadah jenis ketamine ke Malaysia ditahan oleh pegawai Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGIA) di sini.

Bekalan dadah bernilai Rs30 lakhs (RM169,797) dalam pasaran gelap ditemui disorok di ruang khas di bahagian bawah bagasi yang dibawa oleh Mohideen Bhaseer ketika pegawai Kastam melakukan saringan rutin.

Ketika ditahan, Mohideen dari Trichy di Tamil Nadu, selatan India, sedang bersiap sedia untuk menaiki penerbangan MAS ke Kuala Lumpur, menurut laporan agensi berita Press Trust of India (PTI) pada Khamis.

Pesuruhjaya Kastam IGIA Arun Kumar dipetik oleh PTI sebagai berkata dadah itu dibungkus dalam gumpalan kain putih dan disorok dalam ruang kosong khas pada bagasi tersebut.

Katanya satu kilogram ketamine bernilai Rs10 laks (RM56,599) di pasaran antarabangsa.

Bulan lepas, pegawai Kastam di IGIA menahan dua penumpang dari Chennai yang membawa 10kg ketamine ketika mereka mahu berlepas ke Kuala Lumpur. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain