suria

Mahkamah Tetapkan 6 Ogos Bicara Kes Saman Shahrizat Terhadap Zuraida

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis, menetapkan 6 Ogos untuk perbicaraan kes saman berjumlah RM100 juta yang difailkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan seorang lagi.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh tersebut selepas memerintahkan peguam Shahrizat, Datuk Ahmad Redza Abdullah membuat permohonan rasmi bagi meminda penyataan tuntutan.

Vazeer berkata mengikut sistem baru, setiap kes yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi NCVC (New Civil Cases) perlu diselesaikan dalam tempoh sembilan bulan dan berikutan itu beliau perlu menjalankan perbicaraan secepat mungkin.

Dalam kes ini, Zuraida diwakili peguam Razlan Hadri dan peguam Ranjit Singh bagi pihak pengarah strategi PKR Mohd Rafizi Ramli.

Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) atau syarikat-syarikat bersekutu.

Ketua Wanita Umno itu mendakwa kedua-dua defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk "serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif" dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain