suria

Ketua Polis Negara Dianugerah Darjah Utama Bakti Cemerlang Singapura

SINGAPURA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang daripada Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam, pada majlis istiadat pengurniaan di Istana di sini, Jumaat.

Penganugerahan itu adalah atas sumbangan beliau dalam menjalin hubungan dan kerjasama yang erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Singapura dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura, sekaligus meningkatkan keselamatan antara kedua-dua negara.

Bercakap kepada Bernama selepas majlis itu, Ismail melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Singapura dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membolehkan beliau dikurniakan dengan darjah kebesaran tersebut.

"Sesungguhnya ia adalah satu penghormatan bukan kepada saya secara peribadi tetapi yang lebih penting kepada Polis Diraja Malaysia dan Polis Singapura.

"Saya difahamkan bahawa anugerah itu adalah pengiktirafan untuk kerjasama dan hubungan yang sudah terjalin sekian lama antara pasukan keselamatan kedua-dua negara. Apa yang penting, kita perlu teruskan kerjasama bagi menghadapi cabaran akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain