suria

Isteri Wakil Rakyat Perlu Guna Kemahiran Mantapkan Persatuan - Rosmah

KUANTAN: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyeru agar isteri wakil-wakil rakyat menggunakan kemahiran, kepakaran dan pengetahuan yang dimiliki untuk melakukan perubahan dalam persatuan mereka.

Beliau berkata perubahan dan anjakan perlu dilakukan seriring dengan kematangan usia persatuan dan latar belakang anggota persatuan yang terdiri daripada kumpulan profesional seperti doktor, akauntan atau peguam.

"Hakikatnya badan-badan amal ini sebenarnya secara langsung dan tidak langsung memegang tanggungjawab yang sangat besar dengan menjadi wajah serta cerminan terbaik kepada usaha-usaha murni para suami sebagai pemimpin kerajaan.

"Usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh badan-badan amal ini adalah demi meringankan keperitan rakyat, meredakan jeritan rakyat dari kesakitan, mengurangkan kejahilan dengan ilmu, meringankan kepahitan dan kecacatan memupuk semangat kepada yang berpotensi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Lambaian Teratai sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Malaysia 2012 (PTIWRBNM 2012) di sini malam Khamis.

Rosmah juga berkata para isteri juga perlulah sentiasa peka terhadap peredaran zaman dan merancang program yang boleh menarik minat masyarakat yang tidak tertumpu kepada linkungan yang berkenaan sahaja.

"Saya mahukan para isteri sekalian merasai denyut nadi rakyat yakni hendaklah memberi khidmat yang rakyat dapat rasai, sentuhi dan membawa makna kepada kehidupan mereka," katanya.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Ab Rahman, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri, Datin Seri Junaini Kassim. PTIWRBNM yang disertai oleh 560 isteri wakil-wakil rakyat seluruh Malaysia berlangsung di sini dari 2 Mei hingga 6 Mei ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain