suria

Hukuman Mati Terhadap Lelaki Bunuh Kekasih Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang ejen perkapalan, yang mencekik teman wanitanya dan membakarnya dalam sebuah bilik hotel 10 tahun lepas, setelah wanita itu memintanya supaya menceraikan isterinya.

Rusman Sulaiman, 45, kini mempunyai jalan keluar terakhir untuk merayu keampunan daripada Lembaga Pengampunan supaya menukarkan hukuman mati terhadapnya kepada penjara memandangkan rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman mati ditolak sebulat suara oleh panel lima anggota Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria.

Bapa dua anak itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Januari 2009 kerana membunuh kekasihnya Sheeren Liao Ee Chian, 36, seorang pegawai perkapalan, di Bilik 321 Hotel Panmour Villa di Leboh Turi, Klang antara 10 pagi dan 11 pada 3 Februari, 2002.

Dia gagal dalam rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

Penghakiman 21 muka surat itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar yang memutuskan bahawa selepas memberi penilaian yang menyeluruh terhadap keterangan kes, terdapat keterangan ikut keadaan yang sangat besar yang menunjukkan bahawa Rusman melakukan jenayah itu.

"Kami dapati tiada kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pendakwaan telah mewujudkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Rusman," kata beliau, sambil menambah Rusman turut gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim Suriyadi berkata, pendakwaan telah membuktikan bahawa Rusman bertemu si mati di hotel itu dan mengadakan hubungan seks, dan sebagai orang terakhir berada bersama, dia telah mencekik wanita itu.

Beliau berkata, tertuduh menyimbah petrol ke seluruh bilik dan menyalakan api sebelum beredar, turun ke bawah menuju kaunter pembayaran dan membayar bil hotel, memulangkan satu-satunya kunci bilik dan meninggalkan hotel.

"Kami berpandangan bahawa Rusman semestinya mengetahui bahawa dengan mencekik leher si mati menggunakan tuala atau malah menutup mulutnya dengan sebiji bantal, mangsa akan lemas dan mati.

"Kecederaan adalah berganda dan dilakukan di kawasan penting dengan sekuat-kuat tenaga, mengakibatkan si mati mengalami lemas lalu koma dan kemudiannya mati secara perlahan-lahan.

"Tindakan membakar bilik yang akan menghapuskan mayat, adalah 'coup de grace', memandangkan kematian kepada semati adalah pasti, apatah lagi mencacatkannya sehingga tidak boleh dikenali, adalah cukup untuk mewujudkan niat statutori. (Niat untuk melakukan pembunuhan)," katanya.

Hakim Suriyadi berkata, keterangan ahli patologi menunjukkan bahawa mangsa masih hidup ketika api dinyalakan dan asap sekadar mempercepatkan kematiannya.

Hakim turut berkata rantaian keterangan tentang bagaimana petrol dibawa ke hotel itu diperjelaskan oleh isteri Rusman yang memberi keterangan bahawa dia menyerahkan sebiji bekas Helix mengandungi petrol kepada Rusman di luar hotel.

Beliau berkata, bagaimanapun penafiannya bahawa dia berada di hotel itu membebaskannya daripada dakwaan terlibat dalam pembunuhan itu sungguhpun Rusman mendakwa dia bersubahat.

Hakim Suriyadi berkata, isteri Rusman dalam keterangannya berkata pada hari berkenaan, kereta Rusman kehabisan petrol dan dia membantu membeli petrol untuk suaminya.

Pada hari yang malang itu, si mati meminta Rusman supaya menceraikan isterinya yang kemudian mencetuskan pergaduhan antara mereka.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Hasan Lah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain