suria

GLC Bayar RM62 Bilion Dividen Sejak 2004 - PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berkata Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah membayar RM62 bilion dalam bentuk dividen, bermula Mei 2004.

Beliau berkata sejak pelancaran Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (Program GLCT) pada Mei 2004, GLC juga membayar RM40 bilion dalam bentuk cukai (RM5 bilion setahun).

"GLC berjaya mencatat prestasi yang sangat baik dalam menjana kekayaan kepada semua GLC.

"Keuntungan dari segi volume GLC telah melebihi syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Dari segi nilai, 17 GLC telah mencatat hampir satu pertiga nilai Bursa Malaysia," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Sebelum itu, Najib mengadakan perjumpaan dan dialog bersama warga GLC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Najib juga berkata kepentingan sosial mobiliti dalam GLC merupakan satu usaha sistematik untuk memberi peluang kepada pekerja meningkatkan kelulusan dan kemahiran bagi generasi kedua mereka.

"Program tersusun dan berstruktur penting untuk memberi peluang kepada anak-anak pemandu menjadi Ketua Pegawai Eksekutif atau akauntan GLC pada masa depan.

"Kita mahu menjaga kebajikan pekerja sekarang dan juga anak-anak mereka," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Jawatankuasa Putrajaya mengenai GLC Berprestasi Tinggi (PCG) berkata pendapatan bersih G20 dijangka meningkat kepada RM22.5 bilion tahun ini. Pendapatan bersih G20 berkembang 8.2 peratus tahun ke tahun kepada RM20.1 bilion tahun lepas.

Ia berkata jumlah pulangan pemegang saham (TSR) G20 merekodkan pulangan kompaun tahunan sebanyak 14.5 peratus mulai 14 Mei 2004 (pada permulaan program) hingga 13 April tahun ini, mengatasi FBM KLCI bukan G20 sebanyak 2.4 peratus.

"Sehingga 13 April lepas, pemodalan pasaran G20 meningkat lebih daripada sekali ganda kepada RM336 bilion sejak program itu dimulakan.

"G20 memperoleh pulangan ke atas ekuiti sebanyak 11.8 peratus pada tahun kewangan 2011, meningkat 10.6 peratus berbanding tahun kewangan 2010," katanya.

Sejak bermulanya program itu, GLC berjaya menembusi pasaran serantau dan mulai 2004 sehingga tahun lepas, jualan asing G20 meningkat daripada 31 peratus kepada 33 peratus.

"Beberapa GLC melangkah maju untuk menjadi penggiat serantau, malah sebagai peneraju, seperti Axiata Group Berhad, Malayan Banking Berhad, CIMB Group Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad," katanya.

Bagi menambah penghargaan dan bantuan kepada pekerja GLIC dan GLC, PCG pada mesyuarat anggota G20 itu bersetuju melaksanakan gaji minimum, yang diumumkan Najib Selasa lepas, secepat mungkin.

Pampasan berkaitan prestasi dalam bentuk pelan insentif jangka panjang, juga akan disediakan untuk pekerja G20, katanya.

"GLC G20 akan menyediakan skim mobiliti bagi membantu pekerja bukan eksekutif, yang kini mempunyai pilihan terhad untuk meningkatkan diri," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain