suria

Polis Sedang Siasat Pemimpin Pembangkang Didakwa Hina Raja Semasa Pertabalan Agong

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa beberapa pemimpin pembangkang menghina institusi raja semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, bulan lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata siasatan mengikut Akta Hasutan 1970 itu dijangka mengambil masa lebih kurang tiga bulan.

Katanya kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk diteliti sama ada terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam insiden tersebut ke mahkamah atau sebaliknya.

"Kerajaan sentiasa memandang serius mana-mana perbuatan atau tindakan mana-mana pihak yang memperlekeh institusi raja di negara ini.

"Kita akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang sedia ada tanpa mengambil kira latar belakang orang yang terlibat," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini, Rabu.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata siasatan juga sedang dijalankan terhadap sekumpulan pelajar universiti yang berkhemah di Dataran Merdeka, bagi menggesa kerajaan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), diserang oleh sekumpulan lelaki lain.

Katanya satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak berkumpulan dan satu lagi di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pada insiden 19 April itu, sekumpulan pelajar yang sedang berkhemah secara aman di Dataran Merdeka, mendakwa diserang oleh sekumpulan lelaki berbaju T hitam yang bertindak memusnahkan harta benda dan mencederakan mereka.

Berikutan itu, empat suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Lee berkata sebuah jawatankuasa bersama telah ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi membanteras gejala penjualan bayi secara menyeluruh. Katanya jawatankuasa itu turut dianggotai wakil Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran dan polis.

Dari 2008 hingga 2011, beliau berkata sebanyak 32 kes yang melibatkan penjualan bayi direkodkan manakala 33 bayi diselamatkan.

Katanya sebanyak 59 tangkapan dibuat, yang melibatkan sindiket dengan modus operandi mereka membabitkan pemalsuan pendaftaran kelahiran.

"Siasatan polis setakat ini mendapati terdapat dua orang kenamaan berpangkat Datuk disyaki terlibat dalam kegiatan ini dan siasatan masih dijalankan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain