suria

Pengurus Syarikat Logistik Disamun RM200,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat logistik kerugian RM200,000 akibat disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kapak di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) di Shah Alam, pada Khamis.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, pengurus berkenaan yang baru mengeluarkan wang gaji pekerja daripada sebuah bank di Sri Muda, Shah Alam telah memberhentikan keretanya di stesen minyak itu apabila merasakan tayar keretanya pancit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata sebaik berhenti, mangsa didatangi kenderaan jenis Toyota Harrier dan Mercedes Benz sebelum tiga lelaki bersenjata keluar daripada dua kenderaan itu lalu memaksa mangsa keluar dari keretanya.

"Seorang daripada tiga lelaki itu kemudian memecahkan cermin tepi kereta dan mengambil beg berisi wang tunai yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan sebelum kesemua mereka melarikan diri," kata Yahaya kepada pemberita.

Mangsa yang enggan mendedahkan namanya memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa beliau sedang membawa wang tersebut ke Kota Kemuning untuk membayar gaji pekerjanya.

"Ketika kejadian, saya tidak melawan dan dengar sahaja arahan mereka. Mereka turut mengambil kamera dan tablet iPad saya," katanya yang masih trauma dengan insiden itu.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain