suria

Pemilik Kilang Plastik Didakwa Sogok Pegawai TNB

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kilang plastik pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberi suapan bernilai RM10,000 kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), dua tahun lepas.

Ngooi Gin Seng, 48, yang merupakan pemilik Kilang Selangor Plastic Industries didakwa memberi suapan melibatkan sekeping cek Alliance Bank yang bernilai RM10,000 kepada Pengurus Kanan Unit Siasatan dan Risikan TNB, Rumaizi Mohd Amin sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas kilang milik Ngooi di Puchong kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Restoran Starbucks Coffee, G-7 Ground Floor, Bangsar Village Shopping Centre, Jalan Telawi, Bangsar di sini pada pukul 11.15 pagi 24 Disember 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Azizun Mohamad daripada SPRM manakala tertuduh diwakili peguam Akhbardin Abdul Kadir. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain