suria

Kebakaran Musnahkan Tujuh Rumah Papan

KOTA KINABALU: Kira-kira 35 orang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran pagi ini yang memusnahkan tujuh rumah papan di sebuah perkampungan air di Kampung Meruntum, Lok Kawi dekat sini, Rabu.

Kebakaran dipercayai berlaku sekitar pukul 8 pagi ini apabila kebanyakan penghuni rumah bersiap untuk keluar bekerja.

Pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy Ramin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.20 pagi dan lapan anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian dalam tempoh 10 minit.

"Kami berjaya mengawal api kira-kira setengah jam kemudian dan keseluruhan operasi tamat sekitar 9.30 pagi," katanya apabila dihubungi.

Mohd Affendy berkata tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih lagi disiasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain