suria

Kastam Rampas Rokok Seludup & Minuman Keras Bernilai RM393,000

KOTA KINABALU: Kastam Diraja Malaysia Sabah menumpaskan cubaan menyeludup 32,105 bungkus rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang membabitkan cukai bernilai hampir RM393,000 dalam dua operasi di dua lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada Rabu.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) Hamzah Sundang berkata dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu dari hasil maklumat orang awam, penguat kuasa merampas 29,380 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai RM62,208 di satu kawasan lapang di Batu 8, Kampung Wonod Telupid di sini.

Hamzah berkata sebanyak 225 karton berisi minuman keras pelbagai jenama bernilai RM7,482.60 turut dirampas di bawah sebuah rumah usang tidak berpenghuni pada kira-kira pukul 5 petang di kampung yang sama.

Beliau berkata dua unit van yang disyaki menggunakan plat palsu dan didapati menyimpan barang belum lulus Kastam itu turut dirampas dalam operasi bermula pukul 4.30 petang itu.

"Sungguhpun kedua-dua kes disita tanpa pemilik tetapi siasatan akan dilaksanakan untuk mengesan pemilik barang dan kenderaan berkenaan," katanya di dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Dalam kes berasingan, katanya, operasi yang dijalankan oleh Pasukan Marin Kastam Kota Kinabalu berjaya merampas 2,500 bungkus rokok bernilai RM5,500 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Selangan, Pulau Gaya di sini.

"Turut ditahan seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.

Hamzah berkata kesemua barangan itu bernilai RM75,190.60 dengan jumlah cukai sebanyak RM392,743.88 dan kes di siasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, Jabatan Kastam berterima kasih atas kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian 088-233251 atau 088-250842. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain