suria

Kastam Patahkan Cubaan Seludup 10 Juta Batang Rokok Di Pelabuhan Klang

PETALING JAYA: Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 10 juta batang rokok putih bernilai RM4.4 juta termasuk cukai di Pelabuhan Klang pada 25 April lepas.

Pengarahnya Datuk Saadon Mohd Dros berkata rampasan itu yang merupakan terbesar tahun ini susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang tiba dari Vietnam pada 21 Mac lepas.

"Sindiket itu dipercayai cuba untuk menyeludup rokok-rokok tersebut dengan cara memalsukan dokumen manifest import dan menggunakan nama serta alamat pengimport yang tidak wujud," katanya pada sidang media, di sini, Rabu.

Dalam kes itu katanya, barangan tersebut diikrar sebagai "general goods" (barangan am).

Beliau berkata kerajaan juga tidak mengeluarkan lesen import kepada mana-mana syarikat untuk mengimport rokok berjenama 'Luffman' itu.

"Rokok-rokok ini dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan kerana terdapat tanda atau label Amaran Bergambar Kesihatan (kesan daripada merokok), Tarikh di Kilang dan Larangan Penjualan kepada orang bawah umur 18tahun, seperti syarat-syarat di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import)(Pindaan) 2009 yang berkuatkuasa 15 Mac 2009," katanya.

Susulan rampasan itu juga Saadon berkata pihaknya telah menahan seorang pengurus dari sebuah syarikat ejen penghantaran bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu keasalahan membuat perakuan yang tidak benar atau tidak betul, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain