suria

Kanak-Kanak Hilang Di Sg Kayan Ditemui Lemas

IPOH: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tercampak dan hilang dibawa arus di Sungai Kayan dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Teluk Intan-Sitiawan awal pagi tadi ditemui lemas petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, mayat Ting Ching Chik, 2, ditemui pada pukul 2.40 petang tadi di dasar sungai itu oleh unit penyelam Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa bersama ibunya Kia Chew Shie, 34, dan bapanya Ting Hock Seng, 45, yang memandu kereta dalam perjalanan dari Sitiawan ke Bidor.

"Kereta Proton Waja yang dipandu Ting Hock Seng hilang kawalan lalu terbabas dan tercampak ke dalam sungai menyebabkan mangsa turut tercampak keluar dari kereta itu dah hilang dibawa arus", katanya.

Ibu dan bapa mangsa berjaya keluar dari kenderaan tersebut, katanya.

Operasi mencari mangsa dilakukan sejurus menerima laporan daripada ibu bapa mangsa. Sementara itu, seorang anggota tentera yang hilang dibawa arus di sebatang sungai di Tasek Banding, Gerik Ahad lalu ditemui mati lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Abdul Manab Baharum berkata, mayat Andrian Naxi Dominic, 24, berasal dari Sabah ditemui pada pukul 10.20 pagi tadi oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat. Mayatnya dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Beliau berkata mangsa dilaporkan tergelincir di sungai ketika sedang menjalani operasi bersama sekumpulan anggota tentera yang berpangkalan di Tasek Banding Ahad lepas.

Sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, operasi mencari mangsa telah dilakukan dengan bantuan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain