suria

Bomba Terima Dua Laporan Kejadian Tanah Runtuh Di Cheras & Ampang

KUALA LUMPUR: Dua kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Taman Tasik Permai, Ampang dan Taman Supreme, Cheras kira-kira pukul 3 petang ini berikutan hujan lebat di Lembah Klang.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kejadian pertama berlaku di sebuah rumah terletak di tebing bukit di Taman Supreme Cheras di mana tebing bukit itu runtuh dan memasuki bahagian dapur rumah mangsa.

Walau bagaimanapun penghuni rumah itu berjaya menyelamatkan diri, katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Sementara itu, satu lagi tanah runtuh berlaku di Kampung Tasik Permai 22, Ampang di mana tanah bukit di hadapan tiga buah rumah papan runtuh dan menghalang laluan di hadapan rumah terbabit, kata jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor.

Berikutan insiden itu, sebatang pokok dan tiang elektrik turut tumbang, katanya dan menambah tiang elektrik yang tumbang itu telah menghempap salah sebuah rumah tersebut, katanya. Beliau berkata hujan lebat itu juga telah menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air paras pinggang.

Sementara itu penghuni rumah yang dihempap tiang eletrik R. Nathan, 34, berkata ketika kejadian itu, bapa dan empat adik-beradiknya berjaya menyelamatkan diri.

"Ketika kejadian itu hujan sangat lebat, arus air juga deras berikutan banjir kilat menyebabkan motosikal abang saya turut hanyut.

Dia yang bekerja ketika kejadian itu berkata hingga kini mereka gagal mengesan motosikal berkenaan.

Nathan yang telah menetap di situ sejak 1978 berkata ini adalah kali kedua pada tahun ini rumahnya ditenggelami air hingga paras pinggang.

Jirannya S. Rajambal, 60, berkata hujan lebat bermula pukul 1.30 petang tadi menyebabkan air naik dengan pantas.

"Saya tinggal seorang diri ketika hujan lebat itu kerana anak dan suami keluar bekerja. Saya lihat tanah di depan rumah runtuh sedikit demi sedikit, air mula naik memasuki rumah saya, lalu saya menjerit meminta pertolongan jiran sebelah. "Nasib baik jeritan saya didengar dan mereka mendukung saya keluar dari rumah. Peralatan rumah rosak teruk antaranya mesin basuh dan televisyen. Namun saya bersyukur saya sempat menyelamatkan diri ketika tanah runtuh di hadapan rumah saya itu berlaku," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain