suria

Sultan Johor Ketuai Kembara Mahkota Johor Bermula 13-16 Mei Depan

JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim bersama pemimpin negeri dan ketua jabatan akan menjelajah ke seluruh negeri Johor menggunakan motosikal berkuasa tinggi menerusi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 dari 13 hingga 16 Mei ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Obet Tawil berkata pelancaran kembara sejauh 1,012 kilometer itu akan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pasar raya TJ Mart Kulaijaya.

Katanya kembara yang akan merentasi 10 daerah di negeri ini akan berakhir di Plaza Angsana, di sini.

"Seperti sebelum ini, kembara itu akan disertai Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta putera dan puteri baginda," katanya kepada pemberita selepas prapelancaran KMJ 2012 oleh Sultan Ibrahim, di sini, Rabu.

Terdahulu, Sultan Johor pada majlis pelancaran itu turut berkenan menyampaikan cek RM1,500 kepada pemenang pertandingan mencipta logo KMJ 2012, Muhamad Gazali A. Rahim. Obet berkata kembara yang menumpukan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan riadah itu cukup bermakna apabila Sultan Johor yang akan menunggang motosikal Harley Davidson Street Glide berkenan menyampaikan sumbangan peralatan kepada 952 penerima terpilih antaranya mesin rumput, mesin pengadun tepung, mesin jahit dan ketuhar bernilai RM786,780.

Beliau berkata tarikan terbaru kembara kali ini adalah acara cabutan nombor bertuah dengan dua pemenang di setiap daerah akan berpeluang memiliki sebuah motosikal Honda EX5 setiap seorang.

Katanya bagi merapatkan hubungan antara keluarga diraja dengan rakyat, Sultan Johor pada kembara itu berkenan untuk mengadili pertandingan memasak Bubur Lambuk 1Malaysia di Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi.

Baginda juga katanya dijadualkan untuk menyaksikan pertandingan gubahan bunga, melihat proses pembenihan ikan keli, meninjau penternakan kambing dan melihat demonstrasi kopi hailam sepanjang program berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain