suria

Sidang DUN P. Pinang Kecoh Isu Rumah Kotak

GEORGE TOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang berhubung isu rumah kotak atau pangsapuri murah.

Kekecohan tercetus apabila Datuk Arif Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) menggelar R.S.N. Rayer (DAP-Seri Delima) mempunyai pemikiran atau IQ rendah kerana mempertikaikan kenyataan Azhar Ibrahim (BN-Penaga) yang ketika itu sedang membahas usul terima kasih Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas berkenaan isu penghuni di rumah berkenaan.

Rayer yang marah dengan kenyataan Arif Shah kemudian bangkit meminta wakil rakyat Seberang Jaya itu menarik balik kata-kata itu serta mohon maaf kepadanya, bagaimanapun Datuk Mahmood Zakaria (BN-Sungai Acheh) yang tidak berpuas hati dengan tindakan Rayer, bangkit lalu mengherdik Rayer sebagai seorang yang 'kurang ajar'.

Kemudian berlaku episod pertikaman lidah antara Rayer dan Mahmood sehingga mereka mengeluarkan kata-kata kesat seperti 'kurang ajar', 'bodoh' dan 'gengster'.

Pertikaman lidah itu berjaya dihentikan apabila Speaker Datuk Abdul Halim Hussain mengarahkan kedua-dua wakil rakyat itu duduk dan mengarahkan Arif Shah menarik balik kenyataannya terhadap Rayer dan meminta maaf.

Abdul Halim turut meminta Azhar menyambung kembali perbahasannya.

Terdahulu, Azhar dalam perbahasannya mempertikaikan kerajaan DAP Pulau Pinang yang menggelar kehidupan rumah flet sebagai tidak bermaruah dan hidup dalam kotak. "Saya merasakan sebahagian petikan dalam teks ucapan ketika perasmian persidangan DUN Pulau Pinang ke-12 oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dibuat oleh kerajaan negeri.

"Ia menunjukkan seolah-olah, kerajaan negeri menghina hasil kerja jurutera, arkitek dan kontraktor tempatan yang membangunkan perumahan flet di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar meminta kerajaan memperbaiki sistem pengangkutan awam di negeri ini dan bukannya membina terowong dalam laut yang bernilai RM8 bilion.

"Saya sendiri akan sokong jika pengangkutan awam diperbaiki atau membina monorel dan kereta api," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain