suria

Polis Cari Tiga Lelaki Rakyat Asing Kes Samun

JOHOR BAHARU: Polis sedang mencari tiga lelaki rakyat asing bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di Parit Raja dan Ayer Hitam di Batu Pahat baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata mereka ialah Rahman Amri Shapeah, 30, Satri Hurip, 38 dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Sofyan.

"Ketiga-tiga mereka dicari bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata yang berlaku di Parit Raja dan Ayer Hitam di Batu Pahat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program rondaan MPV di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, Rabu.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mohd Mokhtar menasihatkan orang ramai yang berhasrat menyertai Himpunan Tanah Rakyat yang dijadual diadakan di Plaza Angsana, di sini, Sabtu ini supaya menghormati undang-undang.

"Semua kena ingat adanya hak asasi bukan bermaksud kita boleh melakukan perbuatan sesuka hati. Jangan mentafsir undang-undang mengikut selera masing-masing," tegasnya.

Katanya beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob memantau perhimpunan itu nanti.

Mengenai program rondaan MPV itu, beliau berkata ia merupakan langkah proaktif bagi meningkatkan jumlah kehadiran polis di tempat awam.

Mohd Mokhtar berkata program itu juga melambangkan tugas pegawai polis pada masa kini bukan sekadar di pejabat tetapi turut bertemu dengan masyarakat dalam memberi kesedaran mengenai usaha mencegah jenayah. BERNAMA

Artikel Lain