suria

PM Akan Layan Pemanggil Talian Pakar 10 Mei

SHAH ALAM: Pemanggil Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (Pakar) berpeluang berinteraksi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan melayan beberapa panggilan di pusat itu pada 10 Mei ini.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata Pengerusi Barisan Nasional itu akan menjawab kira-kira tiga panggilan ke pusat berkenaan selepas merasmikan Pakar, yang terletak di Bangunan Umno Selangor pada hari tersebut.

"Pemanggil bertuah akan berinteraksi sendiri dengan Perdana Menteri dan mereka bakal menerima hadiah istimewa daripada Pakar," katanya pada satu sidang media di sini, Rabu.

Pakar yang mula beroperasi pada 9 April lepas berfungsi sebagai medium komunikasi dan perkhidmatan parti itu kepada rakyat menerusi talian 1-300-22-2626.

Orang ramai boleh membuat sebarang aduan berhubung wakil rakyat di kawasan mereka, isu seperti kegagalan pengurusan masalah sampah, pertanyaan mengenai program BN seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia serta maklumat berkaitan parti itu melalui Pakar.

Mohd Zin berkata setiap laporan serta aduan yang diterima turut dihubungkan terus kepada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen seluruh Selangor untuk tindakan segera.

Beliau berkata sehingga 30 April lepas, Pakar menerima 1,138 panggilan di mana 400 daripadanya adalah berkaitan aduan seperti masalah sampah, jalan raya, lampu jalan dan rumput di seluruh negeri Selangor.

"Sebanyak 128 aduan adalah berkaitan masalah kutipan sampah yang masih berlaku di negeri itu walaupun Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid memaklumkan isu berkenaan telah selesai hakikatnya masih ada aduan sampah yang tidak dikutip," katanya.

Mohd Zin berkata panggilan berhubung aduan itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan terutamanya di kawasan Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam. BERNAMA

Artikel Lain