suria

Lelaki Putus Jari Ditetak Penyamun Di Klang

KLANG: Seorang lelaki putus jari hantu tangan kanannya akibat ditetak seorang lelaki dalam kejadian cubaan samun di Taman Sentosa di sini, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dan menutup muka dengan kain turut mencederakan kepala mangsa yang dikenali sebagai P. Muniandy, 40-an.

Beliau berkata ketika kejadian ketiga-tiga suspek masuk ke halaman rumah mangsa sebelum seorang daripada mereka menahan mangsa yang ketika itu sedang berada di dalam kereta di kawasan berkenaan.

Katanya, dua lagi suspek cuba memecah masuk rumah mangsa namun gagal selepas mangsa bertindak melawan kumpulan penyamun itu.

"Apabila mangsa cuba melawan, seorang daripada suspek menyerang mangsa dengan menetak jari dan mencederakan kepala mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Rabu

Mohamad berkata kumpulan perompak itu bagaimanapun berputih mata apabila tidak sempat melarikan barangan dari rumah mangsa yang dalam proses pengubahsuaian. Mereka melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Kia Spectra yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain