suria

Kanak-Kanak Dua Tahun Maut Dilanggar Kereta Bapa

LANGKAWI: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dilanggar kereta yang dipandu bapanya ketika mengundurkan kenderaan itu di pantai Kok di sini pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, mangsa Wan Asrul Hafizi Wan Fadli mengalami kecederaan dalaman yang parah dan patah paha kanan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Bapa kanak-kanak itu Wan Fadli Busu, 36, berkata, dia bersama isteri serta tiga anaknya termasuk Wan Asrul Hafizi dari kampung Titi Tinggi Hilir, Perlis datang ke pulau ini untuk menghadiri majlis kenduri di Kedawang di sini.

Katanya, sebelum ke majlis berkenaan mereka sekeluarga menaiki kereta kabel di Gunung Mat Chinchang sebelum berhenti sekejap di pantai Kok kerana salah seorang anaknya ingin membuang air besar.

Wan Fadli berkata, ketika kembali ke kereta, dia tidak perasan mangsa turut keluar daripada kereta dan hanya menyedarinya selepas berasa kereta yang dipandu berlanggar dengan sesuatu.

Sementara itu jurucakap polis Balai Polis Kuah ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain