suria

Isu Roboh Kuil: Tindakan Atas Sebab Keselamatan - Hilmi Yahaya

GEORGE TOWN: Pengerusi Penang Port Sdn Bhd (PSSB) Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata tindakan merobohkan kuil Hindu di dalam kawasan Bulk Cargo Terminal (CBT) adalah demi keselamatan penganut agama itu sendiri.

Ini kerana katanya kuil itu terletak berhampiran saluran paip gas yang boleh mengundang bahaya jika berlaku kebocoran. "Saya bimbangkan keselamatan penganut Hindu itu, jadi saya kena buat dahulu, saya pun sudah pergi tinjau kawasan itu dan saya lihat memang ia berada dalam kawasan bahaya. "Kita bimbang sekiranya berlaku kebocoran paip yang boleh sebabkan letupan ketika upacara keagamaan dijalankan," kata Hilmi yang juga wakil rakyat Barisan Nasional kawasan Teluk Bahang, pada persidangan dewan undangan negeri di sini, Rabu.

Beliau diminta memberi penjelasan bagi pihak PSSB berhubung isu kuil itu yang dibangkit Jagdeep Sing Deo (DAP-Datuk Keramat) semasa membahaskan usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Hilmi bagaimanapun mengakui terdapat sedikit kekeliruan ketika kerja meroboh dilakukan apabila pegawai bertanggungjawab gagal mengadakan perbincangan dengan penduduk kaum India di kawasan terbabit.

"Memang saya setuju sepatutnya ada perbincangan dan itulah yang sepatutnya dilakukan tetapi apabila sampai peringkat pegawai mereka tidak tahu kaedah untuk mengendalikannya," katanya menambah keutamaan pada waktu itu adalah keselamatan penganut yang beribadat di kuil tersebut. Mengenai sama ada kuil tersebut akan dibina semula di tempat lain, Hilmi berkata perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat lembaga pengarah. -BERNAMA

Artikel Lain