suria

Guna Kereta Lama Seludup Diesel

BUKIT KAYU HITAM: Taktik menggunakan kereta lama untuk menyeludup diesel tetap tidak berjaya apabila Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) berjaya menahan sebuah kereta Mitsubishi yang membawa 700 liter diesel bernilai RM6,260 dalam tangki minyak yang telah diubah suai.

Kereta itu ditahan berhampiran persimpangan lampu isyarat dekat pintu sempadan di sini pada pukul 8.10 pagi semalam dan pemandunya yang berumur 42 tahun dari Pulau Pinang turut ditahan.

Komander UPP Kedah, Abd Latif Abd Rahman berkata hasil pemeriksaan terdapat dua buah tangki di bonet belakang dan tempat duduk penumpang belakang bagi mengisi minyak diesel.

"Penyeludup menyangka kenderaan lama terlepas daripada pemeriksaan UPP, tapi tanggapan itu salah kerana kita akan membuat pemeriksaan pada setiap kenderaan yang memalui sempadan negara," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata hasil pemantauan yang dilakukan pihaknya sejak Ahad lalu sehingga semalam, sebanyak empat kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah lori dan dua buah kereta yang berisi petrol dan diesel bersubsidi cuba diseludup ke negara jiran, tetapi telah ditahan dengan nilai petrol dan diesel yang dirampas ialah RM67,166. "Treler berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand ditahan berhampiran pintu sempadan menuju ke negara tersebut pada pukul 7.40 malam Isnin lalu yang membawa muatan diesel sebanyak 520 liter dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu tangki tambahan di belakang kepala treler itu," katanya.

Abd Latif berkata lori yang ditahan itu membawa 3,000 liter diesel yang diisi dalam sebuah tangki tambahan yang diletakkan dalam badan kenderaan tersebut.

Sementara dua buah kereta yang ditahan adalah kereta yang didaftarkan di negara ini yang masing-masing cuba menyeludup 700 liter petrol yang dimuatkan dalam tangki tambahan di bonet kereta itu, katanya.

Beliau berkata kesemua pemandu kenderaan berkenaan yang berumur 37 hingga 45 tahun turut ditahan. -BERNAMA

Artikel Lain