suria

Nube Nafi Perhimpunan Hari Pekerja Gagal Dapat Sambutan

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menafikan perhimpunan sempena Hari Pekerja pada Selasa yang dianjurkan bersama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain gagal mendapat sambutan.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, hampir 2,000 ahli NUBE daripada seluruh negara menyertai perhimpunan itu yang diadakan pada pagi Selasa.

“Saya tidak tahu bagaimana laporan itu boleh mengatakan perhimpunan kami hanya dihadiri kira-kira 500 peserta sedangkan jumlah peserta daripada NUBE adalah hampir 2,000 orang, termasuk beberapa NGO lain.

“Sebanyak 2,000 baju kemeja-t warna merah telah diedarkan kepada mereka (perserta) untuk menyertai perhimpunan pagi tadi,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Perhimpunan anjuran NUBE serta beberapa NGO lain dilaporkan tidak mendapat sambutan seperti yang dijangkakan oleh pihak penganjur.

Laporan itu mendakwa perhimpunan yang bermula dengan perarakan dari Pasar Seni ke dataran Menara Maybank hanya disertai oleh kira-kira 500 perserta berbanding jangkaan 2,000 peserta.

“Perhimpunan kami sempena hari pekerja dianggap berjaya,” kata J. Solomon.

Ketika ditanya sama ada laporan tersebut kemungkinan disebabkan oleh kesan daripada perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan Sabtu lalu, J. Solomon berkata: Perhimpunan hari ini (Selasa) adalah satu perhimpunan aman sempena Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei.”

“Ia bertujuan untuk meraikan pekerja. Tiada sebarang insiden buruk berlaku,” katanya.

Perhimpuan berkenaan turut dipantau oleh pasukan polis dari jauh.

Dalam pada itu, J. Solomon menyambut baik pengumuman gaji minimum pekerja swasta yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin.

Beliau berkata, gaji minimum RM900 bagi sektor swasta untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pada paras RM800 merupakan satu petanda baik sebagai permulaan.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan supaya majikan tidak mengambil kesempatan terhadap keputusan ini dengan menetapkan gaji pekerja mereka pada kadar yang paling minimum.

“Ia seharusnya diselaraskan mengikut kesesuaian bagi membela nasib mereka,” kata J. Solomon.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain