suria

Sembilan Wanita Thailand Salah Guna Pas Sosial Ditahan Di Sungai Petani

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan sembilan wanita warga Thailand kerana kesalahan menyalahgunakan pas sosial dalam serbuan di tiga rumah urut di Taman Sejati Indah di Sungai Petani, Ahad.

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Fitri Hassan berkata seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang dipercayai penjaga sebuah daripada rumah urut itu turut ditahan.

Lelaki itu akan didakwa bagi kesalahan melindungi warga asing, katanya pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen di sini hari ini.

Katanya dalam operasi dari 5 petang semalam dan berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi yang menfokuskan rumah urut dan kawasan penempatan warga asing di daerah Alor Setar dan Sungai Petani, sebanyak 29 lelaki dan 15 wanita warga asing termasuk sembilan wanita Thailand itu ditahan.

Beliau berkata serbuan di penempatan warga asing di Kampung Padang Temusu, Sungai Petani, dua lelaki Bangladesh, Myanmar (lapan), Indonesia (empat) dan seorang warga Nepal serta tiga wanita Indonesia yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Serbuan di penempatan warga asing di tiga lokasi di sini berjaya menahan 11 lelaki Myanmar, seorang lelaki Indonesia, seorang Pakistan dan seorang Bangladesh serta dua wanita Indonesia dan seorang wanita Myanmar.

Kesemua warga asing yang berusia antara 17 hingga 53 tahun itu akan dihantar ke depot tahanan sementara di Juru, Pulau Pinang, katanya.

Beliau berkata sembilan wanita Thailand itu akan didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari enam bulan atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya.

Lainnya akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63(Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau sebatan tidak melebihi enam sebatan atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Lain