suria

PM Lawat Mangsa Cedera Demonstrasi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat empat mangsa termasuk dua petugas media yang cedera ketika perhimpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan di ibu negara semalam, di Hospital Kuala Lumpur di sini.

Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat anggota polis trafik cawangan Kuala Lumpur Mohd Nasir Abu Mansor, anggota polis Terengganu Mohd Kamil Paimin serta jurukamera berita Al-Hijrah Mohd Azri Mohd Salleh dan wartawan The Sun Mohd Radzi Abdul Razak yang ditempatkan di wad 15.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Najib yang tiba pukul 5 petang, sempat bertanya khabar mengenai keadaan mangsa dan mendengar pengalaman mereka ketika bertugas pada perhimpunan itu.

Dalam pertemuan tersebut, Mohd Radzi, 28, berkata Perdana Menteri berjanji untuk membantu menyiasat dan mencari mereka yang didakwa memukul mangsa sehingga mengalami kecederaan parah di kepala. - BERNAMA

Artikel Lain