suria

Pemilik Kedai Ikan Hiasan Dan Pembantu Ditahan Dipercayai Edar Dadah

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang pemilik kedai ikan hiasan dan pembantunya serta merampas 31.575 kilogram ganja mampat dalam serbuan di kedai berkenaan di Taman Murni, Ulu Tiram di sini Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, ACP Kamaruddin A.Aziz berkata lelaki berumur 37 tahun dan pembantu wanita berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan pengedaran dadah di premis berkenaan.

"Kesemua ganja yang dirampas dianggarkan bernilai RM95,000 di pasaran. Polis turut merampas wang berjumlah RM21,873 dari dalam akaun bank suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Isnin.

Kamaruddin berkata kesemua dadah itu dipercayai mampu menjadi bekalan kepada 79,000 orang penagih.

Beliau berkata siasatan mempercayai kedua-dua mereka terlibat dalam aktiviti pengedaran ganja di sekitar Ulu Tiram, Pasir Gudang dan Kulaijaya sejak enam bulan lepas.

"Ujian air kencing lelaki terbabit didapati positif terhadap ganja dan dia turut mempunyai rekod dua rekod jenayah lampau," katanya.

Kedua-duanya direman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain