suria

Lelaki Maut Bersama Jengkaut Ditimbus Tanah Runtuh

MARANG: Seorang pemandu jentolak, Mohd Amri Sidek, 26, maut setelah tertimbus bersama jengkaut ketika sedang menjalankan kerja mengaut tanah di Bukit Kolah, Undang, di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa berseorangan menjalankan kerja mengaut tanah berdekatan tebing bukit tiba-tiba tanah bukit berkenaan runtuh dan mangsa gagal menyelamatkan dirinya.

Seorang yang menyaksi kejadian, Abd Hadi Yaacub, 51, berkata, sebelum itu dia melihat mangsa mengendalikan jenteranya mengaut tanah sebelum ternampak runtuhan tanah menimpa Mohd Amri.

"Sebahagian jengkaut tertimbus dan mangsa tidak kelihatan dan saya terus menghubungi pihak bomba," katanya kepada pemberita.

Ibu mangsa, Shapinah Yaacub, 55, berkata, anak sulungnya itu baru sahaja pulang menghantar nasi kepadanya dan kembali semula ke tempat kerja kira-kira pukul 1 tengah hari.

"Saya belum sempat menjamah makanan yang dihantar Mohd Amri ketika menerima panggilan telefon kira-kira 10 minit selepas kejadian. Makcik terkilan namun pasrah dengan kejadian," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, Mohd Zamri Awang Long berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukil 5.22 petang dan bergegas bersama 14 anggota dan dua buah jentera ke tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia daripada timbunan tanah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain