suria

PNB Diminta Wujudkan Skim Pelaburan Persaraan

KOTA KINABALU: Pengurus aset terulung negara, Permodalan Nasional Berhad (PNB) diminta supaya mewujudkan satu skim pelaburan yang menarik untuk persaraan dan penjagaan kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan pelaburan yang menarik untuk persaraan, penjagaan kesihatan, perumahan dan pendidikan boleh menjadi alternatif kepada skim yang sama disediakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Skim pelaburan tersebut akan memberi orang ramai jaminan kewangan selepas bersara," katanya ketika menutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2012 yang dihadiri oleh kira-kira 268,787 orang.

Muhyiddin berkata, terdapat keperluan untuk pelaburan dana persaraan alternatif kerana satu kajian menunjukkan bahawa sebilangan besar mereka yang mengeluarkan simpanan KWSP akan menghabiskan simpannya antara tiga dan lima tahun.

“Pada waktu yang sama, purata jangka hayat adalah 75 tahun,” kata beliau yang menyifatkan sukar bagi pesara untuk menampung kos sara hidup sehingga akhir hayat mereka.

Beliau menambah, perbelanjaan perubatan untuk pesara yang meningkat, disebabkan usia mereka, menjadi salah satu faktor utama yang boleh mengurangkan simpanan KWSP.

Muhyiddin berkata, satu tinjauan yang dijalankan oleh syarikat penyelidikan pasaran AC Nielsen menunjukkan bahawa hanya 21 peratus daripada rakyat Malaysia menyediakan kewangan untuk persaraan, 42 peratus tidak pasti sama ada mereka menyediakan kewangan untuk persaraan dan baki 35 peratus pula tidak bersedia untuk bersara.

Muhyiddin berkata, PNB yang mempunyai rekod prestasi yang baik dalam urusan unit amanah boleh membangunkan skim persaraan yang tepat untuk rakyat Malaysia dengan menawarkan pelaburan menarik yang menyediakan jaminan kewangan serta melindungi pelaburan dari inflasi.

Artikel Lain