suria

Operasi JPJ: Lelaki Positif Dadah Ditahan, 93 Saman Dikeluarkan

SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan kerana positif dadah jenis ganja, 93 saman dikeluarkan dan 24 kenderaan disita dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar bandar ini, malam Sabtu.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad yang mengetuai operasi yang disertai beberapa agensi lain termasuk polis, Jabatan Imigresen Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, berkata sebanyak 128 kenderaan telah diambil tindakan di atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan itu termasuklah 53 kes pemandu tidak mempunyai lesen, 47 kes tiada cukai jalan, dan 101 kes melibatkan kesalahan teknikal seperti memasang cermin gelap dan plat nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Selain itu sebanyak 14 kes tindakan pihak polis dan AADK dengan tangkapan terhadap kesalahan penggunaan dadah dan dua kes di bawah JPN kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya operasi tersebut.

Ismail berkata, operasi bersepadu tersebut diadakan setiap tiga bulan bertujuan mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya selain memberi kesedaran kepada mereka agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. -BERNAMA

Artikel Lain