suria

Anggota Rela Mati Tertembak Senapang Sendiri

SEREMBAN: Seorang anggota Rela yang dikatakan mahu memburu ayam hutan di kawasan ladang kelapa sawit di Batu 22, Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickso, dijumpai mati dipercayai akibat tertembak dengan senapangnya sendiri petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Abd Wahab Harun berkata mayat Midon Idris, 44, dari Tanjung Agas dijumpai bersebelahan motosikalnya di kawasan ladang kelapa sawit itu, dengan kesan luka tembakan di kepala.

"Mangsa yang menaiki motosikal sebelum itu dipercayai terjatuh menyebabkan senapang patah yang dibawanya dipercayai meletup dan terkena dirinya sendiri.

"Mangsa bersama seorang lagi rakannya menaiki motosikal berasingan dan berpecah ketika sampai di kawasan itu dipercayai untuk memburu ayam hutan," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan cek sagu hati khas kepada 50 orang bekas polis zaman darurat oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini.

Abd Wahab berkata seorang penyelia ladang itu menjumpai mangsa dan kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis.

Katanya polis turut menjumpai selaras senapang patah yang dipercayai dibawa oleh mangsa di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan juga tiada bukti ada orang lain terlibat dalam kejadian ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain