suria

Polis Tumpaskan Kegiatan Samun Di Manjung

SERI MANJUNG: Polis berjaya menumpaskan kegiatan samun bersenjata di daerah itu berikutan penahanan lima lelaki yang merupakan anggota kumpulan "ET" pada Operasi Cantas di kawasan Kampung Koh di sini pada Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Manjung ASP Ahmad Mat Isa berkata polis menjalankan operasi di kawasan tersebut bermula pukul 3 petang hingga 8 malam dengan membawa kepada penahanan kesemua suspek berumur antara 16 dan 22 tahun.

"Pada mulanya polis menahan seorang daripada suspek di sebuah rumah di kawasan kampung itu, susulan daripada itu polis menahan empat lagi suspek di kampung itu tetapi di lokasi berasingan. "Kumpulan ini melakukan kegiatan samun bersenjata dan polis turut merampas dua bilah parang," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati dua daripada suspek masih bersekolah dan terdapat tiga lagi anggota kumpulan itu sedang dikesan.

Tiga suspek itu ialah Wong Teck Chong, 22, beralamat di Taman Maju Mewah, Sitiawan, Isaac Rhomas Philips, 22, dari Taman Mutiara, Subang Jaya, Selangor dan Wee Shao Hong, 19, dari Taman Desa Aman, Kampung Koh, Sitiawan.

Dalam kes berasingan, polis kini mencari dua lelaki yang merupakan anggota kumpulan 'Zairey' yang terlibat dalam kes pecah rumah di daerah itu.

Polis kini mengesan Mohd Azizudin Mat, 29, berasal dari Bukit Kiara, Lumut dan Hafiz Hashim, 20, dari Kuala Ketil, Kedah.

Beliau berkata ia berikutan penahanan seorang lelaki yang merupakan ketua kumpulan itu pada 2 April lepas di sebuah rumah teres di Seri Manjung di sini, sekaligus berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah di daerah itu.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis merampas beberapa barangan elektrik antaranya tujuh buah penghawa dingin, sebuah peti sejuk, tiga buah kipas meja dan dua buah periuk nasi.

Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 24 April lepas di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun. -BERNAMA

Artikel Lain