suria

Pemimpin Pembangkang Patut Nasihat Pengikut Tidak Sertai Perhimpunan

MACHANG: Pemimpin pembangkang patut menasihati pengikutnya agar tidak menyertai perhimpunan kerana provokasi yang dilakukan boleh mencetuskan keadaan huru hara di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata mereka juga perlu menasihati pengikutnya supaya mengemukakan sesuatu rasa tidak puashati melalui saluran yang betul yang tidak menjejaskan keadaan aman yang dinikmati rakyat selama ini.

"Ada kalangan orang PAS dan DAP yang tak setuju dengan provokasi yang boleh mencetuskan keadaan huru hara dalam negara, kita harap mereka ini tidak akan bersama-sama dengan orang yang mahu mencetuskan provokasi dan menimbulkan masalah dalam negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,500 penerima di kawasan Parlimen Machang, di sini, Jumaat.

Mustapa turut membidas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mewajibkan anggota PAS terlibat dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan yang disokong oleh parti pembangkang di Kuala Lumpur esok, sebagai pandangan yang amat tidak betul seolah-olah menggalakkan rakyat memberontak.

"Saya bersetuju dengan pandangan Naib Pengerusi DAP Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan itu," kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Tunku Abdul Aziz semalam dilaporkan berkata berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya terhadap beberapa penganjuran perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman, tetapi berakhir dengan keganasan.

Mengenai tindakan sekumpulan aktivis melancarkan perhimpunan yang sama di Makkah dan Madinah, Arab Saudi, Mustapa berkata mereka yang bawa isu berkenaan hingga ke luar negara hanya untuk memalukan negara.

"Inilah sikap orang yang taksub dengan dakyah yang disebarkan oleh pemimpin pembangkang," katanya sambil mengajak rakyat menolak mereka yang mencemarkan imej negara serta pemimpin yang mengajar pengikut menjadi taksub hingga tidak menghormati undang-undang negara.

Beliau berkata Malaysia tidak memerlukan campur tangan asing untuk menyelesaikan sebarang isu kerana kerajaan sudah mempunyai pengalaman menyelesaikan banyak masalah termasuk ancaman komunis dan kegawataan ekonomi tanpa campur tangan asing. -BERNAMA

Artikel Lain