suria

Pelajar Mati Lemas Selepas Berjoging Di Pantai Bachok

BACHOK: Seorang pelajar Sekolah Menengah Sri Nipah ditemui mati lemas selepas keluar berjoging di kawasan pantai berhampiran rumahnya di Kampung Pulau Belongan di sini, Jumaat.

Mayat Mohamad Fahmin Yasin, 17, ditemui di kawasan pantai oleh orang ramai dua jam selepas dia keluar dari rumahnya untuk berjoging selepas solat Subuh pada kira-kira 6.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Ab Rahim Che Ghani berkata anggota keluarga dengan kerjasama penduduk kampung berkenaan berusaha mengesan mangsa selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Kesihatan Bachok untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan mangsa mati lemas dan tiada unsur jenayah, katanya di sini, Jumaat.

Sementara itu, bapa mangsa Yasin Abdul Ghani, 52, berkata arwah anaknya ialah anak ketiga daripada lima beradik, tidak menunjukkan sebarang keganjilan sebelum ditemui mati lemas di pantai itu.

"Dia hanya meminta kebenaran saya untuk keluar berjoging dengan memakai seluar pendek sebaik selepas selesai sembahyang Subuh," katanya.

Mangsa merupakan seorang pelajar yang aktif dalam kegiatan kokurikulum Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat.

Jenazah Mohamad Fahmin dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampungnya selepas solat Asar hari ini. -BERNAMA

Artikel Lain