suria

Mahasiswa Diminta Matang Imbangi Pelajaran, Demonstrasi - Khaled Nordin

PASIR GUDANG: Mahasiswa di negara ini perlu bersikap lebih matang dalam mengimbangi antara hak kebebasan mereka berdemonstrasi dengan tuntutan untuk berjaya dalam menuntut ilmu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun negara kini mengalami transformasi politik dengan lebih menghormati hak kebebasan individu termasuk mahasiswa, namun golongan itu perlu bijak menilai soal itu.

"Dalam apa jua perhimpunan dan demonstrasi, kebebasan untuk berhimpun yang diberi, tertakhluk kepada peraturan dan undang-undang yang mana kalau sah dan tak menyalahi undang-undang maka terserah kepada mereka (untuk menyertainya).

"Perhimpunan Bersih sebagaimana yang kita tahu ada perintah mahkamah yang menghalang mereka untuk menggunakan Dataran Merdeka dan kerajaan telahpun tawarkan tempat lain untuk tujuan itu.

"Jadi mahasiswa perlu memahami bahawa perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa maka apabila seseorang menyertai yang menyalahi undang-undang mereka tertakluk kepada undang-undang negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Sekolah Agama Taman Rinting, Masai di sini, Sabtu.

Katanya, jika seseorang mahasiswa itu melakukan perlakuan yang memalukan instusi pengajian tinggi (IPT), maka mereka juga boleh dikenakan tindakan oleh institusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yakin tindakan gemar berdemonstrasi ini hanya dilakukan oleh segelintir mahasiswa daripada 1.3 juta mahasiswa di negara ini.

Menurutnya sebahagian besar lagi mahasiswa menyedari tuntutan untuk menumpukan kepada pelajaran kerana mengetahui mereka dibiayai subsidi kerajaan dan menggunakan wang rakyat untuk belajar. - BERNAMA

Artikel Lain