suria

Jangan Terbawa-Bawa Perbezaan Dalaman Parti - PM

KUCHING: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Jumaat diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan pergeseran dalaman parti kerana ia boleh menjejaskan keputusan mereka meletakan calon yang boleh menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata presiden parti harus mengetepikan perbezaan yang mungkin ada dengan pemimpin bawahan mereka dalam memilih orang yang tepat yang boleh membawa kejayaan dalam pilihan raya nanti.

"Saya tidak mahu orang kesayangan anda menjadi calon kerana apa yang saya nak ialah calon yang boleh menang," katanya semasa majlis jamuan malam yang dihoskan oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi Ketua Menteri itu di sini malam Jumaat.

Selain Taib, yang juga Pengerusi BN Sarawak dan presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jamuan itu turut dihadiri oleh presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin, Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom dan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing.

Najib berkata perbezaan pendapat pasti berlaku dalam sesebuah gabungan yang mempunyai sejarah panjang seperti BN tetapi beliau percaya ia boleh diselesaikan dengan semangat kekeluargaan. Katanya sejarah panjang itu juga mengaburi beberapa orang dalam BN mengenai matlamat asal pembentukan gagasan iaitu berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

"Dengan memberi perkhidmatan baik kepada rakyat, maka mereka akan yakin untuk mengundi kita," katanya.

Perdana Menteri berkata sokongan dari Sarawak adalah penting bagi memastikan BN dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya akan datang dan oleh itu membolehkan agenda pembangunan di negeri itu dapat diteruskan.

Katanya pembangkang masih belum menunjukkan bahawa mereka dapat menyaingi segala usaha yang dilaksanakan oleh BN bagi negeri itu.

"Kami mahu buat lebih untuk Sarawak tetapi apa yang kami perlu ialah mandat rakyat negeri itu pada pilihan raya ini," katanya.

Terdahulu itu, Taib memberitahu pemimpin BN negeri supaya memberi tumpuan kepada kejayaan Sarawak di bawah BN daripada terbabit dalam pertikaian mengenai dakyah pembangkang.

"Sebagai orang lama dalam politik dan mentadbirkan negeri, saya kata pembangkang masa kini gagal membuktikan diri mereka sebagai alternatif lebih baik kepada rakyat dalam menguruskan negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain