suria

Anggota TUDM Wanita Gagal Mulakan Prosiding Komital Terhadap MAT

KUALA LUMPUR: Seorang anggota wanita Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang didapati bersalah atas tuduhan tidak hadir tanpa cuti, pada Khamis, gagal dalam permohonannya untuk memulakan prosidang komital terhadap Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan Laskar Udara Kanan (LUK) Najwa Zainol di dalam kamarnya untuk memulakan prosiding komital terhadap MAT.

Najwa didapati bersalah terhadap tuduhan itu oleh MAT pada 15 Mac 2011 dan diarah ditahan selama 28 hari.

Peguam Kanan Persekutuan Aida Adhha Abu Bakar yang mewakili MAT memberitahu pemberita permohonan Najwa ditolak kerana MAT telah melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi agar MAT menyemak semula keputusan asalnya.

Aida Adhha berkata berikutan semakan itu, MAT juga telah mengesahkan keputusan awal berhubung perkara itu.

Najwa yang diwakili peguam Mohd Syahril Daud berkata anak guamnya memulakan prosiding komital itu selepas MAT menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah yang sepatutnya dimulakan dalam tempoh satu bulan selepas perintah dikeluarkan.

Katanya MAT hanya melaksanakan perintah itu pada 26 Mac lepas.

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan MAT untuk menyemak keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Najwa untuk mencabar keputusan MAT.

Dalam permohonannya, Najwa mendakwa perintah tahanannya dibuat selepas perbicaraan terus, yang didakwanya bertentangan dengan Seksyen 55A Akta Angkatan Tentera.

Katanya mengikut Seksyen 30 akta itu, beliau boleh pada bila-bila masa menyemak keputusan yang dibuat oleh MAT.

Najwa berkata beliau telah menghantar dua surat bertarikh 7 Jun dan 14 Julai tahun lepas, kepada Panglima Tentera Udara dan MAT untuk menyemak keputusan itu, namun gagal mendapat sebarang jawapan daripada mereka. - BERNAMA

Artikel Lain