suria

Tweet Fitnah: Penulis Pojok 'Citizen Nades' Diperintah Bayar RM500,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat memerintahkan "Citizen Nades", penulis pojok akhbar The Sun, membayar RM500,000 sebagai ganti rugi kepada seorang ahli perniagaan berhubung tweetnya yang bersifat memfitnah, pada 2010. Ini dipercayai kes Malaysia yang pertama menganugerahkan ganti rugi atas sebab fitnah di laman Twitter.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah memerintahkan Nadeswaran membayar sejumlah RM300,000 sebagai ganti rugi am dan RM200,000 ganti rugi teruk kepada Datuk Mohamad Salim Fateh Din. Dalam keputusannya hakim itu berkata mahkamah berpendapat amaun itu adalah adil dan wajar sebagai mencerminkan tahap kerosakan akibat penerbitan perkataan-perkataan yang memfitnah.

Beliau berkata mahkamah telah mengambil kira bahawa "defendan adalah seorang wartawan yang ruangannya 'Citizen Nades' menarik bilangan pengikuti yang ramai membincangkan isu-isu kepentingan awam, yang mengundang perbincangan dan pendapat di kalangan pembacanya dan beliau mempunyai lebih 4,000 pengikut di Twitternya.

Hakim Amelia berkata Nadeswaran sewajarnya lebih berhati-hati mengendali tweetnya sedangkan beliau sedar bahawa ia boleh dan akan dilihat oleh ramai.

"Bila beliau gagal bertindak berhati-hati terhadap postingnya dan dalam proses itu menyakiti pihak lain dengan postingnya yang bersifat memfitnah, beliau mesti dikira bertanggungjawab," kata hakim.

Hakim berkata amaun ganti rugi sewajarnya menghantar mesej yang tegas kepada mereka yang berada dalam kedudukan boleh menyebarluas maklumat, dan mereka mestilah berhati-hati dan bersungguh-sungguh tidak menyakiti pihak lain.

Hakim juga menarik perhatian bahawa defendan tidak memfailkan kenyataan pembelaan.

"Oleh kerana tidak ada pembelaan difailkan, tidak timbul pertikaian terhadap hakikat bahawa kenyataan memfitnah telah dibuat, kenyataan telah disiarkan, dan bahawa ia telah menjejas reputasi plaintif," kata hakim.

Mohamed Salim diwakili oleh peguam Dhinesh Bhaskaran dan Denise Tan, sementara Nadeswaran oleh peguam Lim Chee Wee.

Pada 31 Januari, tahun lepas, Mohamad Salim memfail saman terhadap Nadeswaran selepas penulis itu pada 12 Julai 2010, membuat kenyataan fitnah di tweetnya.

Dalam kenyataan tuntutannya, Mohamed Salim berkata kenyataan itu menurut erti semula jadi dan biasa, difahamkan beliau telah menyembunyikan keturunannya dan beliau menipu orang ramai agar mempercayai yang beliau seorang Bumiputera.

Ahli pernigaan itu berkata kenyataan itu adalah tidak benar oleh kerana beliau adalah seorang Bumiputera keturunan Pakistan dan tidak pernah menyembunyikan hakikat ini.

Beliau berkata defendan telah juga pada 22 Disember, 2010 menulis di tweetnya kenyataan memfitnah itu.

Beliau memohon bayaran berjumlah RM17 juta sebagai ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. -BERNAMA

Artikel Lain