suria

Polis P. Pinang Tumpaskan Sindiket Penipuan 'Macau Scam'

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang percaya telah menumpaskan satu sindiket memperdaya orang ramai untuk mendapatkan wang simpanan mereka dalam akaun bank dengan cara mengugut mangsa kononnya telah melakukan kegiatan jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang ACP Roslee Chik berkata sindiket yang dikenali sebagai 'Macau Scam' itu terbongkar apabila polis menahan empat orang, termasuk seorang wanita, dalam satu serbuan di Johor, pada 25 April lepas.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 dan 30 tahun dan wanita berumur 52 tahun itu ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kes seorang peniaga di negeri ini yang kerugian lebih RM70,00.

Katanya sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lepas di Johor itu akan membuat panggilan kepada mangsa menerusi Voice Over Internet Protocol (VOIP)dengan menyamar kononnya panggilan itu adalah dari Bank Negara atau Kementerian Dalam Negeri ataupun dari Bahagian Siasatan jenayah Bukit Aman.

Anggota sindiket kemudiannya akan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu jika mangsa tidak mahu wang dalam akaun mereka dirampas atau dibekukan. Roslee berkata penahan anggota sindiket itu mempunyai kaitan dengan laporan polis yang dibuat seorang peniaga kedai runcit berusia 63 tahun pada 2 Nov tahun lepas yang kerugian RM70,000 selepas memasukkan wang ke dalam dua akaun sindiket berkenaan.

"Mangsa menerima panggilan daripada anggota sindiket yang menyamar sebagai Pegawai Kementerian Dalan Negeri dari Bukit Aman memaklumkan dua lelaki ditahan oleh polis di Hong Kong dan telah mengaitkan mangsa atas jenayah pengubahan wang haram," katanya.

Mangsa yang tinggal di Permatang Pauh, dekat sini yang ketakutan dengan panggilan telefon itu memasukkan wang ke dalam akaun tertentu seperti yang diarahkan mereka sebelum tersedar beliau telah diperdaya dan kemudiannya membuat laporan polis.

Roslee berkata ekoran laporan polis itu, polis menjalankan siasatan dan risikan selama tiga bulan sebelum mengesan empat anggota sindiket terbabit.

"Hasil penahan mereka, polis merampas 22 buah buku akaun pelbagai bank, 53 keping kad debit, 33 keping kad ATM, 33 keping sim kad prabayar, tiga buah buku catitan nama-nama pemilik akuan, wang tunai RM658 dan sebuah kereta," katanya.

Beliau berkata keempat-empat anggota sindiket terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya polis sedang mengesan ketua sindiket itu yang dikenali sebagai 'Ah Keong', berumur 30-an dan berasal dari Batu Pahat.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Roslee berkata polis mencari M.Lechumanan, 36, berasal dari Butterworth bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang syarikat lebih RM100,000 baru-baru ini.

"Lelaki itu bekerja sebagai penyelia gudang di Seberang Perai Utara dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Sjn Mohd Akhir Lazim di talian 04-5762222 bagi membantu siasatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain