suria

Pemandu Ambulans & Pelajar Maut Dalam Kemalangan

KUANTAN: Dua lelaki maut manakala seorang parah dalam dua nahas jalan raya berasingan di Bentong pada Khamis.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim kejadian pertama berlaku 5.40 pagi semalam di Km 19 Jalan Baru Bentong-Raub melibatkan sebuah ambulans swasta yang dalam perjalanan dari arah Kota Baharu menuju ke Kuala Lumpur.

"Mangsa, pemandu ambulans tersebut, Mazlan Khamis, 27, mati di tempat kejadian sementara kelindannya berusia 18 tahun, cedera parah," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sementara kelindan yang parah dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Dalam kejadian kedua di Km 4.8 Jalan Bentong-Raub, seorang penunggang motosikal, Azizul Azmi Abdul, 17, maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas ekspres.

Mangsa, pelajar tingkatan lima berasal dari Bentong itu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong. "Dalam kejadian 4.30 petang itu, bas yang dinaiki 20 penumpang tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Baharu.

"Mangsa yang menunggang motosikal sendirian dipercayai terbabas dan termasuk ke laluan bas sebelum dirempuh bas terbabit sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya patah," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Lain