suria

Organ Tiga Tenaga Kerja Indonesia Tidak Hilang - Menteri Luar Indonesia

JAKARTA: Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa berkata organ tidak hilang dari jasad tiga tenaga kerja Indonesia yang mati ditembak di Malaysia, sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pihak di republik itu.

"Hasil autopsi semula yang dilakukan oleh pasukan forensik Polis Republik Indonesia menyimpulkan dakwaan bahawa sejumlah organ hilang daripada tiga mangsa itu tidak terbukti," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Jumaat.

Kenyataan beliau adalah untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan sesetengah pihak di Indonesia kononnya ketiga-tiga rakyat Indonesia itu Herman, 34, Abdul Kadir Jaelani, 25, dan Mad Nur, 28, yang mati selepas terkena tembakan polis pada 24 Mac lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan, menjadi mangsa perdagangan organ tubuh manusia.

Ketua Pusat Kedoktoran dan Kesihatan Ibu Pejabat Polis Indonesia, Mossadeq Ishak yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata hasil autopsi mendapati kesemua organ dalam tubuh ketiga-tiga lelaki itu berada dalam keadaan sempurna.

"Seluruh organ meliputi otak, mata, jantung, hati, buah pinggang dan lain-lain berada dalam keadaan lengkap," katanya.

Dakwaan itu muncul apabila beberapa pihak mencurigai sesuatu bila melihat keadaan jenazah ketiga-tiga warganegara Indonesia itu yang dihantar pulang ke kampung mereka di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat (NTB) pada 5 April lalu untuk pengebumian.

Berikutan dakwaan itu, pihak berkuasa Indonesia telah menggali semula mayat mereka dan melakukan bedah siasat kali kedua di Hospital Polis Indonesia di NTB pada Khamis dan Jumaat.

Marty berkata bedah siasat kali kedua itu dilakukan oleh pasukan forensik Polis Indonesia serta pasukan pakar dari Fakulti Kedoktoran Universiti Mataram.

Penglibatan kedua-dua pihak itu penting bagi menentukan kesahihan hasil autopsi selain membuktikan bahawa Kerajaan Indonesia amat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya di luar negara, katanya.

Beliau berkata Kerajaan Indonesia telah campur tangan dalam isu itu kerana dakwaan tentang pengambilan dan penjualan organ tubuh merupakan suatu perkara yang serius. "Kerana itu, Kementerian Luar Negeri menyokong penuh usaha melakukan autopsi semula atas keizinan keluarga. Apapun pilihan keluarga, menjadi pilihan kerajaan," katanya.

Marty berkata Kerajaan Indonesia sentiasa memberi perhatian kepada soal perlindungan terhadap rakyatnya di luar negara tanpa melihat status latar belakang mereka.

Bagaimanapun, ia sentiasa mencari fakta terhadap apa sahaja isu yang tercetus sebelum memberikan kenyataan kepada umum mengenai sesuatu isu itu, katanya. Sementara itu Marty dalam temu bual dengan stesen televisyen swasta, TVOne yang disiarkan secara langsung, telah membidas media tempatan yang sering membuat kesimpulan kononnya Kerajaan Indonesia tidak serius untuk menangani masalah rakyat negara itu di luar negara.

Pihak kerajaan, katanya sentiasa mengambil tindakan bagi menyelesaian isu-isu yang melibatkan rakyat Indonesia, namun tidak semua masalah diumumkan kepada orang ramai. -BERNAMA

Artikel Lain