suria

Lelaki Asing Ditembak Mati Ahli Perniagaan Ketika Cuba Menyamun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat asing ditembak mati ketika memecah masuk sebuah banglo di Taman Bukit Ledang, Jalan Duta di sini bersama tiga lagi rakannya, awal pagi Jumaat.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditembak oleh pemilik rumah berkenaan, manakala tiga lagi rakannya dapat melarikan diri. Ketua Polis Daerah Brickfield ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata empat lelaki yang memakai topeng muka memecah masuk rumah berkenaan dengan mengumpil pintu utama pada pukul 2.30 pagi. "Pemilik rumah itu, seorang ahli perniagaan berusia dalam lingkungan 60-an yang menyedari kejadian itu bergegas untuk melihatnya dan menembak seorang daripada suspek.

"Suspek mati di tempat kejadian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian sebenar," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Wan Abd Bari berkata polis kini mengesan tiga lagi lelaki yang melarikan diri dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain