suria

KOMENTAR: ANTARA HAK BERHIMPUN DAN HAK KEBEBASAN ORANG LAIN

KUALA LUMPUR: Esok, banyak pihak di sekitar ibu kota sudah pun merombak jadual rutin hari Sabtu mereka. Pusat-pusat tuisyen, kolej persendirian, klinik serta premis perniagaan tidak akan menjalankan aktiviti biasa hari Sabtu kerana tidak mahu mengambil risiko ekoran perhimpunan yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka meskipun kawasan itu telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Apabila ramai berhimpun, lebih-lebih lagi di kawasan terbuka dan bermotifkan politik, tiada jaminan kerosakan harta awam atau kemalangan tidak akan berlaku.

Kini, banyak tertanya-tanya bagaimanakah APA atau Akta Perhimpunan Aman 2011 dapat menjamin hak dan kebebasan awam yang mungkin terjejas.

Mungkinkah pihak berkepentingan mahu menguji keberkesanan APA melalui perhimpunan kali ini? Masyarakat umum pula tertanya apakah kuasa polis untuk mengawal ketenteraman awam kini semakin terhad?

Kegelisahan itu adalah ekoran pihak polis kali ini tidak banyak mengeluarkan kenyataan berhubung perhimpunan itu, sebaliknya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang berulang kali mengingatkan penganjur bahawa Dataran Merdeka adalah kawasan larangan dan hanya acara bertaraf nasional sahaja boleh diadakan di situ.

Seorang pegawai kanan polis Bukit Aman berkata pasukan polis menghormati semangat di sebalik penggubalan APA, iaitu untuk memberi hak berhimpun secara aman, dan sekaligus membina budaya demokrasi yang sihat.

Tetapi, katanya ia tidak bermakna pihak polis hanya berdiam diri dan tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya berlaku sesuatu yang di luar batasan undang-undang.

APA 2011 yang diluluskan Parlimen hujung tahun lepas, antaranya bermatlamat memastikan bahawa, selagi wajar, rakyat berhak menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata.

Dalam masa yang sama, APA juga menyenaraikan "hak dan kebebasan orang lain", iaitu termasuk hak untuk menikmati harta bendanya; hak kepada kebebasan bergerak; hak menikmati persekitaran semula jadi; dan hak untuk menjalankan perniagaan.

Juga disebut antara bentuk kesalahan, iaitu jika disertai bukan warganegara, di tempat larangan atau membawa kanak-kanak.

APA juga memperuntukkan hak bagi orang yang mempunyai kepentingan untuk membangkitkan kebimbangan atau bantahannya terhadap perhimpunan itu dengan sebabnya.

Antara tanggungjawab penganjur ialah memastikan peserta perhimpunan tidak menganggu ketenangan awam, tidak menyebabkan kerosakan harta atau alam sekitar serta tidak membuat kenyataan yang menimbulkan permusuhan awam.

Peruntukan penguatkuasaan oleh polis diperuntukkan di bawah sekysen 20 iaitu termasuk kuasa menangkap, langkah-langkah perlu memastikan pematuhan secara sukarela oleh penganjur dan peserta serta kuasa menyuraikan perhimpunan.

Sifat penting APA berbanding dengan peruntukan undang-undang sebelum ini ialah ia telah menghapuskan keperluan untuk mendapatkan lesen perhimpunan.

Selain itu hukuman penjara ditiadakan dan hukuman yang bakal dikenakan hanya bersifat denda iaitu tidak lebih daripada RM10,000, kecuali bagi kesalahan tidak patuh arahan bersurai, tidak lebih RM20,000.

Jika dilihat perkembangan terkini, iaitu setelah DBKL memaklumkan bahawa Dataran Merdeka adalah kawasan larangan, maka sesiapa yang gagal mematuhi sekatan tersebut boleh dianggap melakukan kesalahan di bawah akta ini.

Dengan menolak tawaran mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Merdeka, Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton dan Stadium Bola Sepak di Cheras, peserta perhimpunan dikhuatiri akan berkumpul di jalan-jalan di sekitar bandaraya seperti tahun lepas, yang boleh menjadikannya suatu kesalahan sebagai protes jalanan.

Kementerian Dalam Negeri menganggap isu utama perhimpunan kali ini bukan lagi soal kebenaran mereka untuk berhimpun tetapi lebih kepada pemilihan lokasi yang lebih sesuai.

Setakat ini, lokasi alternatif yang menjadi pilihan pihak penganjur ialah Pasar Seni, Masjid Negara, KLCC, Brickfields, Jalan Sultan dan Masjid India.

Hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Mahkamah Magistret telah membenarkan larangan agar perhimpunan itu tidak diadakan di Dataran Merdeka.

Justeru, beliau meminta pihak penganjur dan peserta perhimpunan agar mematuhi larangan mahkamah itu. - BERNAMA

Artikel Lain