suria

Kerajaan BN Terus Laksanakan Janji Pilihan Raya Kepada Sibu - PM

SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memenuhi janjinya dalam konteks Sarawak, terutamanya di Sibu meskipun kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 2010.

Beliau berkata keadaan Sibu lebih baik hari ini, termasuk dari segi projek tebatan banjir dan prasarana, kerana tidak seperti pembangkang, kerajaan BN memenuhi segala janjinya kepada rakyat.

"Saya masih ingat (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) Datuk Douglas Uggah bertanya saya apa yang akan dilakukan sekarang memandangkan Sibu bukan lagi kawasan pilihan raya parlimen BN tetapi jawapan saya kepada beliau ialah apa saja yang kita telah janjikan kepada penduduk Sibu, kita mesti laksanakan," kata beliau ketika berucap pada majlis makan malam pemimpin bersama rakyat di sini malam Khamis.

Beliau berkata fasa kedua projek tebatan banjir akan bermula tidak lama lagi selepas kerajaan membelanjakan RM230 juta untuk membangunkan lima sistem saliran di Sibu.

Projek perluasan dan penambahbaikan terminal lapangan terbang Sibu yang berharga RM137 juta dijangka siap September tahun ini manakala jalan raya berkembar dua hala baharu yang bernilai RM200 juta akan memudahkan perjalanan ke lapangan terbang dari jambatan Durin, katanya.

Dalam pilihan raya kecil 2010, calon DAP Wong Ho Leng memenangi kerusi parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN Robert Lau Hui Yew dan seorang calon bebas Narawi Haron.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana menyokong kepimpinan beliau dan berharap untuk bekerjasama rapat dengan Taib seperti Almarhum ayahanda beliau, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau berkata persefahaman dan sokongan yang diberi oleh kerajaan Sarawak kepada kerajaan persekutuan membolehkan pelbagai program transformasi kerajaan dilaksanakan dengan jayanya di negeri ini.

"Impian untuk merubah Malaysia menjadi satu daripada negara terulung di dunia adalah satu perjalanan yang kita mesti kongsi bersama," kata beliau, yang mengumpamakan realiti itu sebagai sebuah kereta api yang berada di stesen dengan penumpangnya semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata bukanlah mudah untuk menguruskan sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia, dari Perlis ke Semporna di Sabah, terutamanya semasa tempoh yang begitu mencabar apabila dunia belum pulih sepenuhnya daripada krisis ekonomi.

Bagaimanapun, dengan agendanya yang boleh dipercayai, Najib berkeyakinan kerajaan akan dapat melakukan lebih banyak lagi untuk rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang jika diberi semula mandat dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, beliau berkata pembangkang tidak mempunyai keupayaan untuk menguruskan negara, malah tidak dapat membentuk Kabinet bayangan sekalipun sehinggalah hari ini sejak pilihan raya diadakan empat tahun lepas.

"Kami boleh melakukannya kerana, pertama sekali, apabila kami berjanji, kami tunaikan dan kedua, kami menguruskan negara dengan baik tetapi jika anda tidak dapat menguruskan rakyat dan jika anda sebuah kerajaan yang populis, negara ini akan musnah," katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sampai kepada penerima yang layak di rumah panjang di pedalaman selain di kawasan bandar di Sarawak disebabkan strategi pengurusan yang baik di pihak kerajaan.

Najib turut terharu apabila dipersembahkan kad ucapan oleh sekumpulan kanak-kanak sekolah, yang menyampaikan harapan dan impian mereka untuk melihat penubuhan Universiti Teknologi Sibu menjadi kenyataan. - BERNAMA

Artikel Lain