suria

Dua Senario Yang Sama Tetapi Berbeza

Rakyat Afghanistan melaksanakan solat Jumaat hanya beralaskan tikar dan sejadah di luar perkarangan sebuah masjid di Kabul. - Foto AFP
 Rakyat Afghanistan melaksanakan solat Jumaat hanya beralaskan tikar dan sejadah di luar perkarangan sebuah masjid di Kabul. - Foto AFP
Rakyat Afghanistan melaksanakan solat Jumaat hanya beralaskan tikar dan sejadah di luar perkarangan sebuah masjid di Kabul. - Foto AFP

KITA semua sangat beruntung dan patut berasa syukur kerana di negara kita belum pernah lagi kita mendengar orang ramai yang sedang keluar dari masjid selepas selesai menunaikan solat Jumaat mati terbunuh kerana perbuatan khianat atau kerana letupan bom.

Tapi malang dan kesiannya, kejadian seumpama ini berlaku di kebanyakan negara lain termasuklah yang terbaru di Damascus, Syria.

Laporan agensi berita AFP melaporkan, sembilan orang awam telah terbunuh sebaik sahaja mereka bersama jemaah yang lain keluar meninggalkan masjid di tengah-tengah bandar ini selepas solat Jumaat akibat letupan bom.

Di Masjid Kolej Islam Malaya, Jalan Universiti Petaling Jaya pula, para jemaah yang baru selesai mengerjakan solat Jumaat keluar dari masjid dengan wajah yang gembira sambil tangan memegang sebungkus nasi dan sebiji pisang hasil derma orang awam yang baik hati dan ingin berbuat amal.

Bayangkan di Damascus, Syria, jemaah Jumaat mati terkulai kerana letupan bom dan di Petaling Jaya, jemaah Jumaat keluar dengan rezeki dan makanan percuma.

Dua senario yang sama tetapi berbeza ini cukup untuk menceritakan betapa kita semua di negara ini bersyukur kita dapat hidup dengan aman dan tenteram tanpa ada perasaan takut dan khuatir akan menjadi mangsa serangan bom.

Penulis berasa pelik, mereka yang melakukan serangan berani mati ini belajar agama daripada siapa yang mengatakan meletupkan diri dan membunuh orang awam apatah lagi yang sedang keluar dari rumah suci Allah itu adalah kerja jihad.

Tidak ada agama termasuk Islam yang mengizinkan mana-mana penganutnya daripada membinasakan diri lebih-lebih lagi mengambil nyawa manusia lain tanpa sebab.

Sedangkan nabi sendiri berpesan kepada bala tenteranya supaya mereka tidak melakukan kemusnahan tanpa sebab termasuklah membinasakan rumah atau pokok ketika berjuang inikan pula membunuh orang awam yang tidak berdosa.

Di negara-negara tertentu termasuklah di negara yang kebanyakan rakyatnya memakai serban dan pakaian ala Islam, kejadian seperti ini telah menjadi lumrah.

Ini sekaligus membuktikan memakai serban, burga dan jubah tidak ada kena mengena langsung dengan Islam melainkan ia adalah sebahagian daripada budaya dan adat masyarakat setempat.

Di Afghanistan umpamanya, menyembunyikan bom jangka di dalam serban untuk melakukan serangan berani mati telah menjadi satu taktik yang popular dan berkesan pada masa ini kerana boleh dikatakan seratus peratus rakyatnya memakai serban.

Perencana serangan bom berani mati ini menyedari adalah mustahil untuk pihak berkuasa memeriksa setiap manusia yang memakai serban yang mundar-mandir di tengah-tengah pekan atau di dalam masjid lebih-lebih lagi kesemua lelaki Afghan memakai serban walau di mana sekali pun mereka berada.

Jadi mereka menyembunyikan bom jangka yang dikawal dengan telefon bimbit di dalam serban mereka lalu keluar berjalan di pasar atau di hadapan masjid dan kemudian letupkan diri untuk menyelesaikan misi.

Tetapi apakah tindak tanduk tersebut Islamik? Sudah tentunya tidak. Jika ada ulama yang berkata ia adalah satu tindakan yang benar, kita ingin tahu apakah nas dan dalil-dalilnya.

Malangnya bunuh membunuh menggunakan helah ini berlaku di kalangan umat Islam sendiri yang berselisih pendapat atau bertentangan pendapat.

Mereka tidak ada cara lain untuk menyelesaikan pertikaian melainkan melalui letupan bom dan mesingan.

Oleh hal yang demikian penulis sentiasa berasa bersyukur kerana ditakdirkan oleh Allah untuk dilahir dan dibesarkan di Malaysia.

Dengan itu penulis tidak berasa gusar sama ada diri penulis sendiri, anak-anak atau sanak saudara, rakan taulan dan orang awam yang baru keluar dari masjid setiap kali selepas sembahyang Jumaat akan terancam oleh serangan pengebom berani mati yang berselindung di sebalik serban, jubah atau burga.

Artikel Lain