suria

Bicara Kes Saman Malu RM30 Juta Terhadap Lim Ditangguh Pada 18 Mei

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman malu RM30 juta difailkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung kenyataannya mengaitkan Umno dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang ditangguhkan pada 18 Mei ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam mewakili Zainal Abidin iaitu Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan peguam mewakili Lim iaitu Sangeet Kaur Deo dan Latheefa Koya.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula Jumaat.

Sangeet ketika ditemui pemberita berkata kes itu ditangguhkan kerana Ketua Menteri dan anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo, yang juga merupakan peguam kepada Lim, perlu menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bermula Isnin lepas hingga 10 Mei ini.

Zainal Abidin, 52, yang memfailkan saman itu pada 24 Okt 2011, menamakan Lim yang juga Setiausaha DAP, Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan, Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan, dan ketua penyuntingnya, Fazallah Pit sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai 2011, Lim telah menerbitkan suatu kenyataan akhbar melalui e-mel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai, tahun lepas, yang antara lain membawa maksud kononnya beliau terlibat dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau didakwa Lim melakukan perkara tersebut melalui cara yang salah serta menyembunyikan penglibatannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai 2011.

Beliau berkata pada 18 Ogos tahun lepas, Lim telah mengeluarkan satu lagi kenyataan menyinggungnya di hadapan sekumpulan wartawan, yang telah disiarkan di laman berita elektronik, The Malaysian Insider, pada hari yang sama.

Zainal Abidin berkata antara lain kenyataan itu membawa maksud kononnya beliau telah merancang untuk mensabotaj premis parti DAP di Pulau Pinang, dan kononnya beliau terlibat dalam mencetuskan cubaan membakar premis itu.

Beliau berkata akibat kenyataan itu, ia telah merosakkan reputasinya dan menjejaskan kepercayaan parti induk terhadapnya.

Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan suatu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu. - BERNAMA

Artikel Lain